Tarikh 31 Ogos 1957 sebagai hari kemerdekaan bagi Tanah Melayu (Malaysia) adalah ilham dan cadangan daripada Syeikh Abdullah Fahim selepas beliau membuat pengiraan hisab berdasarkan takwim Hijrah. Beliau adalah seorang tokoh ulama’ dan juga pakar dalam ilmu falak.
Syeikh Abdullah Fahim merupakan salah seorang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu. Tunku Abdul Rahman dan pemimpin Melayu yang lain sering mendapat nasihatnya dalam usaha mereka mendapat kemerdekaan. Beliau pernah menasihati Tunku Abdul Rahman supaya bekerjasama dengan pemimpin kaum lain supaya penjajah British bersetuju memberi kemerdekaan.
Syeikh Abdullah Fahim dilahirkan di Kampung Sha’ab Ali yang terletak berhampiran dengan Masjidil Haram di Mekah pada tahun 1869. Bapanya Syeikh Ibrahim Tahir (berasal dari Kedah dan merantau ke Mekah) adalah guru Al-Quran di Masjidil Haram.
Syeikh Abdullah Fahim dibesarkan di Mekah dan telah mendalami pelbagai ilmu agama seperti usuluddin, fiqh, tasawuf, tarekat, tafsir al-Quran & Hadis serta ilmu sastera Arab dan ilmu falak. Beliau telah berguru dengan ramai ulama’ di Mekah dan Madinah. Sebelum pulang ke Tanah Melayu pada tahun 1921, beliau pernah menjadi guru di Masjidil Haram dengan mengajar ilmu falak, usuluddin, tafsir al-Quran dan Hadis.
Selain mengajar, Syeikh Abdullah Fahim juga memiliki semangat jihad yang tinggi dan pernah menyertai gerakan Islam di negara Arab untuk menentang penjajahan Yahudi, Perancis dan Amerika Syarikat. Dalam menegakkan syiar Islam di muka bumi, beliau bukan sekadar menyampaikan dakwah dengan lidah, tetapi juga sanggup ‘turun padang’ untuk menegakkan sebuah perjuangan, khususnya bagi menentang penjajahan.
Syeikh Abdullah Fahmi kembali ke rahmatullah pada tahun 1961 sewaktu berusia 92 tahun. Semoga roh beliau sentiasa dicucuri rahmat.
Copi teks….

